Saturday, May 17, 2008

Chairman's Speech During the Opening Ceremony of the KLAVA Referees Committee AGM 2008

Terima Kasih Tuan Pengerusi Majlis.
Yang saya hormati, tetamu kehormat kita pada pagi ini, yang juga merupakan pengasas dan penasihat Lembaga Pengadil KLAVA, En. Lui Fok Foy, barisan Exco lembaga Pengadil KLAVA sesi 2006/2007 dan tuan-tuan sekelian. Selamat pagi dan salam sejahtera. 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat berkumpul pada pagi ini di Bukit Jalil Golf & Country Resort, untuk acara Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pengadil KLAVA dan pertandingan persaudaraan permainan bowling di antara semua ahli yang hadir. 
Bagi pihak Lembaga Pengadil KLAVA, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu kehormat kita, En. Lui Fok Foy, kerana sudi meluangkan masa pada pagi Sabtu ini, hari bersama keluarga, untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kita. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua ahli yang hadir pada pagi ini, di atas pengorbanan masa dan tenaga anda sekelian, demi kecemerlangan lembaga kita.
Di sini, saya ingin memohon izin daripada saudara semua untuk membenarkan saya mengulangi sedikit sebanyak ucapan saya di dalam Buletin Pengadil KLAVA yang terkini. Ini adalah kerana mesej yang ingin saya sampaikan pada pagi ini, pada pendapat saya, adalah sangat penting, membawa makna yang mendalam, dan merupakan perkongsian ikhlas dari hati sanubari saya. Saya berharap agar perkongsian minda ini dapat menjadi pedoman dan renungan buat kita sekelian.
Seperti kata pepatah, “masa tidak menunggu sesiapa” atau “time waits for no one”, dengan sekelip mata sahaja, maka 2 tahun pun sudah berlalu. Sudah tiba masanya pada pagi ini untuk kita memilih pucuk pimpinan baru bagi menerajui lembaga kita bagi sesi 2008/2009. Harapan saya adalah agar calon-calon yang akan dipilih nanti seharusnya merupakan ahli-ahli yang sanggup berkhidmat untuk lembaga kita tanpa mengira penat lelah, tanpa mempunyai “agenda tersendiri” dan tanpa mengabaikan kebajikan ahli-ahli kita. Lembaga kita tidak boleh membenarkan mana-mana individu yang sanggup mengejar ‘agendanya tersendiri” menggadaikan nama dan maruah lembaga kita, mengenepikan kebajikan ahli-ahli kita dan menganaktirikan ahli-ahli kita sendiri. Selagi saya masih menjadi pengerusi lembaga pengadil ini, saya tidak sanggup dan tidak akan membenarkan perkara sebegini berlaku.
Pada pendapat saya, di dalam sesuatu organisasi, persoalan siapakah yang lebih penting atau “superior” dan siapakah yang lebih “inferior” tidak seharusnya timbul. Setiap anggota atau ahli di dalam organisasi itu adalah penting dan memainkan peranan unik masing-masing. Disebabkan keunikkan dan fungsi yang dimainkan oleh setiap ahli di dalam organisasi tersebut, maka organisasi tersebut dapat mencapai matlamat, tujuan, visi dan cita-cita yang dirancang.
Metafor yang dapat saya gunakan untuk menerangkan pendapat saya di atas adalah seperti tubuh badan seseorang. Tubuh badan seseorang merupakan satu unit, tetapi terdiri daripada banyak anggota. Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “saya tidak memerlukan awak”; begitu juga dengan kepala kepada kaki, atau telinga kepada hidung dan sebagainya. Setiap anggota tubuh badan seseorang mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Cuba bayangkan apa akan berlaku sekiranya tubuh badan kita hanya merangkumi mata sahaja, ataupun telinga sahaja! 
Oleh yang demikian, pengerusi dan ahli-ahli exco lembaga kita tidak dapat berfungsi sepenuhnya tanpa sumbangan daripada ahli-ahli yang lain. Ahli-ahli lembaga yang lain pula tidak dapat memenuhi matlamat dan impian lembaga sekiranya pengerusi dan ahli-ahli exconya tidak memainkan peranan mereka dengan baik. Seruan saya agar kita berganding bahu dan bekerjasama demi mempertingkatkan mutu pengadilan dan nama Lembaga Pengadil KLAVA sehingga ke tahap dimana lembaga kita akan menjadi lembaga contoh kepada negeri-negeri yang lain. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Lembaga Pengadil KLAVA mencapai tahap yang boleh dibanggakan dan disegani oleh lembaga-lembaga pengadil negeri yang lain pada hari ini, bukanlah atas hasil kerja seseorang individu sahaja. Ia merupakan gabungan tenaga, masa, fikiran dan pengorbanan daripada semua anggota badan atau ahli lembaga kita. Cuba saudara sekelian lihat tempat mesyuarat dan aturcara mesyuarat kita pada pagi ini. Lembaga kita dapat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan pertandingan persaudaraan permainan bowling di Bukit Jalil Golf & Country Resort ini adalah kerana saudara semua telah memainkan peranan anda dengan menyumbang kepada dana lembaga kita. Pada pendapat saya, di atas pengorbanan daripada saudara sekelian itu, maka apabila dana lembaga kita sihat, lembaga kita seharusnya membalas balik pengorbanan saudara-saudara tersebut. Oleh yang demikian, di sinilah kita berkumpul pada pagi ini, “to socialize and have some fun.”
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli lembaga kita kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mempengerusikan lembaga kita pada sesi 2006/2007. Kepada semua ahli Exco sesi 2006/2007, rakan seperjuangan saya, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan pengorbanan saudara semua selama 2 tahun yang lepas. Kepada saudara-saudara exco dan ahli-ahli sekelian, saya menghulur 10 jari memohon maaf, sekiranya tingkahlaku saya atau kata-kata saya selama ini telah menyinggung perasaan mana-mana pihak. 
Selepas membuat renungan dan disebabkan beberapa insiden yang berlaku selama 2 tahun yang lepas, maka saya di sini ingin mengumumkan bahawa saya sanggup dicalonkan sekali lagi sebagai Pengerusi Lembaga Pengadil KLAVA bagi sesi 2008/2009. Dengan kerjasama daripada barisan exco yang baru dan sokongan daripada saudara-saudara sekelian, maka saya akan memastikan bahawa kebajikan saudara-saudara semua akan dijaga dan tidak dianaktirikan. Disamping itu, nama dan maruah lembaga kita akan terus meningkat.
Sekian, terima kasih.

JOSEPH GERARD IR


No comments: